Monday 22 April 2019

SINAR SELEPAS TRAUMA

Ketenangan. Itulah sebuah rasa yang telah lama tidak saya temui walaupun saya mencarinya dari pebagai arah. Jiwa saya terasa semakin tenat apabila terpaksa menjaga hati pihak lain sehingga hati dan perasaan sendiri terabai. Saya juga berada dalam perangkap trauma yang dikenali dengan istilah 'Stockholm Syndrom' di mana saya rasa terhutang budi dengan suami dan madu yang 'mengutip' saya dan memberi saya kehidupan berumah tangga. Walaupun saya mahu keluar daripada situasi itu, namun saya menyayangi keluarga itu, tempat saya menumpang kasih walaupun hanya setahun (dalam perkahwinan) dan dua tahun (dalam persahabatan). Dan saya paling sedih hendak berpisah dengan anak-anak mereka yang saya anggap seperti anak sendiri! Sukar untuk melepaskan mereka yang saya rasa akan hidup bersama saya ke penghujung usia.

Syukur saat itu walaupun suami dan madu semakin tidak mempercayai saya, namun masih ada yang mempercayai saya dengan mengamanahkan saya untuk melaksanakan sebuah projek di Kuala Lumpur. Latar belakang saya di bidang teknikal sangat memudahkan saya menyiapkan  cadangan kertas kerja untuk memulakan projek tersebut, iaitu di bawah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Saya memohon izin suami ketika itu, namun dia tidak berkata apa-apa kecuali apabila saya balik ke KL nanti saya tidak menceritakan apa-apa masalah kepada ibu bapa saya. Ini kerana saya akan pulang ke rumah ibu bapa saya untuk bermalam, menyelesaikan tugasan dan pulang kembali ke rumah saya dan suami. Saya tidak menyusahkan mereka dan meminta tolong rakan saya menghantar saya ke stesen bas.

Di stesen bas, sebelum bertolak, sempat saya hubungi seorang teman ibu untuk meminta nasihat kerana emosi saya sungguh terhimpit ketika itu. Ya, saya ada bercerita kesusahan perasaan saya kepada ibu walaupun tidak dibenarkan suami kerana saya bagi saya, itu hak saya untuk merawat perasaan saya yang tertekan. Ibu menasihatkan saya bercakap terus dengan kaunselor untuk meminta pandangan oleh orang yang lebih pakar. Begitulah ibuku, masih cuba untuk adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Kaunselor tersebut adalah rakannya sendiri. Apabila saya hubungi kaunselor tersebut, dia melontarkan persoalan yang membuat saya berfikir. Soalnya, "Sampai bila kamu hendak hidup begini? Kamu masih belum mempunyai anak. Tidak apa (untuk berpisah). Sampai bila kamu boleh bertahan?" Dia tidak memberi solusi secara langsung namun dia memberi peluang saya berfikir sendiri sejauh manakah saya boleh bertahan apabila suami dan madu seakan sangat membenci saya. Minda saya sekaligus mula bergerak untuk mencari penyelesaian untuk masalah rumah tangga saya dengan lebih tekun.


Semasa saya telah sampai ke Kuala Lumpur untuk urusan projek yang dimaksudkan, saya terus menyelesaikan urusan bersama ibu dan rakan-rakan dalam NGO yang sama untuk menghantar cadangan kepada pihak jabatan kerajaan untuk kelulusan di samping mendaftar syarikat. Alhamdulillah segala urusan seakan dipermudahkan apabila berjaya berdaftar syarikat, dan cadangan diterima pegawai kerajaan hanya dalam tempoh sehari, walaupun sebelum itu, kami terpaksa berulang-alik antara jabatan ke jabatan. Namun sangat menyedihkan, sewaktu urusan selesai, apabila saya memaklumkan suami urusan selesai dan ingin pulang ke rumah, apa yang saya dapat adalah kemarahannya! Entah kenapa! Pada saat inilah, suami dan madu menghantar mesej marah-marah, dan saya sudah sampai ke kemuncak kesabaran! Mereka menuduh saya penipu dan pembohong!

Kerana keadaan fizikal dan mental yang sangat penat kerana urusan seharian, saya terus berterus-terang yang saya terpaksa mengadu kepada ibu bapa apa yang mereka perlakukan kepada saya, agar orang lain maklum saya bukan penipu seperti tuduhan mereka. Ibu telah cuba menyabarkan saya, namun saya tewas! Kesabaran saya telah lenyap. Alangkah sedihnya suami semakin marah sehingga saya sendiri 'terkandas' hari tersebut dan tidak dapat balik ke rumah kami di selatan tanah air. Beberapa hari seterusnya saya meminta maaf namun masih dimahari. Beberapa minggu saya tetap meminta maaf dan memaklumkan saya rindu, namun tetap dimarahi  malah semakin dahsyat, hanya kerana saya ingin mengadu nasib saya. Sampai ke saat ini, suami (bakal bekas suami) masih menyalahkan saya dan memarahi apabila saya cuba berdamai. Ada waktunya dia berlembut namun hanya seketika.

Inilah peristiwa pencetus bagaimana titik jatuh saya yang paling di bawah telah menjadi titik saya untuk mula ke atas, dengan cara yang Allah siapkan untuk saya. Sungguh saya bersyukur, walaupun perit rasanya untuk berpisah, namun Allah bantu hanya bila saya benar-benar siap untuk redha dan berserah sepenuhnya kepada kendali Yang Maha Kuasa. Ya, saya mengambil masa selama setahun lebih untuk merasmikan status saya daripada isteri kepada janda! Dalam erti kata lain, saya tidak membenarkan diri saya dalam proses gantung tidak bertali dalam susunan waktu yang sangat sempurna: satu tahun tujuh bulan.

Dalam tempoh satu tahun tujuh bulan, saya mula mendaki keluar dari lohong gelap ini, dalam keadaan diri saya yang lemah dan longlai (benar ketika itu, saya tidak lagi seperti saya semasa sebelum dan awal berkahwin; berisi dan berseri. Saya seakan zombi; kurus dan pucat dengan wajah yang 'breakout' kerana stres). Itu keadaan fizikal sahaja di mana saya tiada selera makan langsung dan pada minggu pertama di Kuala Lumpur diserang athsma yang teruk yang tidak pernah datang selama hampir dua puluh lebih tahun! Seingat saya hanya masa kecil saya diserang athma yang teruk. Bayangkan, keadaan diri yang sangat lemah sehingga mudah diserang penyakit. Manakala mental saya juga sangat sakit ketika itu sehingga saya berasa tidak dapat bangun pagi dan saya akan tidur berjam-jam lamanya, selama berminggu-minggu. Ibu ayah dan keluarga sangat memahami dan memberi semangat dan mendengar apabila saya ingin meluahkan namun saya lebih suka menulis masalah saya dalam diari di emel saya. Sekarang, apabila saya membaca semula diari saya, ada bibit-bibit optimistik dalam setiap luahan. Saya catitkan doa-doa dan harapan-harapan dalam penulisan diari saya. Syukur dalam keadaaan tersebut Allah mengilhamkan saya untuk terus memilih positif.


Saya juga diterima kerja dengan projek tempat saya membantu untuk proses pendaftarannya - iaitu projek taska di bawah NGO yang saya sertai. Kerja saya sebagai guru lalu saya salurkan sisa-sisa semangat saya ke dalam aspek pengajaran dan pembelajaran anak-anak murid, dan dalam masa sama, saya menyerap keceriaan dan semangat anak-anak didik saya. Syukur bidang guru kanak-kanak ini saya sudah lama idami, dan dimakbulkan akhirnya! Terima kasih Allah! Kau berikan sinar selepas trauma kepada hamba-Mu yang kerdil ini!

Thursday 18 April 2019

SILENT TREATMENT

Sungguh akibat berdepan dengan situasi tekanan emosi, keadaan fikiran saya menjadi bercelaru sehingga pada satu ketika saya merayu kepada mereka untuk bawa saya pergi berubat dengan pengamal perubatan Islam. Saya benar-benar menyangka diri sayalah yang perlu diubati kerana sering menyebabkan madu saya berkecil hati dengan kata-kata saya. Saya juga menyangka saya dipengaruhi oleh makhluk halus apabila tidak tahan berada di rumah itu. Sebenarnya, saya tidak tahan berada dalam suasana toksik di rumah tersebut.

Saya perhatikan diri saya yang dahulu, begitu alergi apabila menerima 'silent treatment'. Iaitu layanan yang berbentuk 'zero', tanpa komunikasi daripada pihak lagi satu, hatta reaksi marahpun daripadanya. Saya segera akan merasa seakan hilang arah. Balik kerja, apabila madu berdiam diri, saya akan mencari kesempatan untuk memohon maaf untuk sesuatu yang saya tidak pasti. Apa salah saya, saya tertanya-tanya. Namun saya tetap menyusun sepuluh jari, merayu-rayu untuk mendapat kemaafannya. Natijahnya lagi, saya kerap ingin lari dari rumah tersebut, apabila dirinya tidak memberikan respons! Sungguh aneh, dek kerana terdesak untuk diterima, saya menjadi seperti seorang anak kecil yang merajuk! Tetapi setiap kali itulah saya dipujuk untuk kembali dan diberi amaran agar tidak menceritakan kepada ibu bapa saya. Itulah permainan emosi yang harus saya lalui ketika itu.

Pendirian saya ketika itu adalah untuk mempertahankan perkahwinan saya. Itu sahaja yang saya fikirkan siang dan malam, bagaimanakah saya dapat menyelamatkan perkahwinan ini. Dalam masa sama, saya cuba berterus-terang dengan madu kerana takut dengan suami dan dalam masa yang sama saya telah menjadi terlalu bergantung dan percaya pada madu. Saya berkonfrontasi dengannya akan tindakannya dan setiap kali itulah saya meminta maaf jika saya tersilap dalam bertingkah laku. Katanya dia alami 'mood swing' sebab itu dia 'silent treatment' saya.

Alangkah hairan juga, apabila saat saya mengadu akan diri saya yang diabaikan dan sering dimarahi dengan harapan untuk meraih secebis simpati, nuansa syahdu bertukar ribut apabila, saya tiba-tiba tersuluh menjadi watak antagonis dan dituduh memarahi madu sedangkan saya hanya mengadu nasib. Begitulah kitaran yang berulang sehingga saya akhirnya melepaskan kendali dalam keadaan saya terduduk di dasar paling bawah namun dalam keadaan terbit rasa bersedia untuk bangkit kembali! Walaupun ketika itu saya belum nekad sepenuhnya, namun hati berdetak, "Sampai bila aku jadi macam ni?"

VICTIM BLAMING

Saat paling meremukkan hati seorang wanita bukan saat dirinya diherdik dan dimarahi tetapi saat diabaikan, seakan tidak ada nilai di sisi orang tersayang. Hina dan tidak berharga adalah gambaran perasaan diri wanita apabila disisihkan mereka yang dikasihi. Apabila diasak pula dengan perkataan kejam iaitu pembohong dan penipu, tidak mungkin ada wanita yang tidak terkesan dan silap-silap boleh menjadi gila dek kerana tertekan. Bukan diri ini tidak pernah bertindak, namun mungkin kelihatan tindakanku adalah pasif kerana kecintaan saya terhadap yang dinamakan kedamaian dan kebencian saya terhadap sebarang unsur konflik.

Menghadapi jerih deraan emosi ini, saya sempat merujuk kepada kumpulan sokongan khas untuk wanita berkeluarga poligami. Saya mengharapkan agar mendapat nasihat daripada pihak yang mengalami sendiri hidup berpoligami. Syukur saya masih boleh berfikir dengan baik untuk memperbaiki keadaan hidup. Niat saya ketika itu adalah memperbaiki diri sambil memperbaiki keadaan rumah tangga saya. Syukur juga kerana terdapat banyak nasihat yang meminta saya bersabar dan memperbaiki keadaan. Namun terselit unsur 'victim blaming' apabila seorang ahli grup secara personal menyatakan seolah sayalah yang bersalah kerana membuat suami marah.

Bukanlah saya mengharapkan sangat orang terus menyebelahi saya ketika itu, namun rugikah jiwa  kita jika menghulurkan empati terhadap orang yang melalui kesukaran. Daripada apa yang saya hadapi inilah, saya belajar untuk duduk dalam kasut orang terlebih dahulu apabila mereka datang mengadu kepada saya. Tidak terus menghukumi namun belajar membaca situasi seakan kita yang berada di tempatnya. Ada juga hikmahnya apabila orang tidak menyebelahi kita semasa menghadapi cabaran; sekurang-kurangnya tahap empati saya dapat bertambah untuk membantu memberi sokongan kepada orang lain selepas ini. InsyaAllah biiznillah!


Wednesday 10 April 2019

RENJATAN EMOSI

Kenapa saya hampir kehilangan akal sehingga tahap bercakap seorang diri? Inilah yang dinamakan pengalaman trauma atau renjatan emosi akibat peristiwa-peristiwa yang menyakitkan.Saya sering dimarahi dan dibentak apabila tercetus konflik demi konflik dalam rumah tangga. Oh ya, saya belum memberitahu kisah rumah tangga saya lagi. Saya adalah isteri kedua dalam sebuah rumah tangga poligami. Tunggu! Jangan menghakimi saya sebagai 'perampas' kerana saya telah dilamar oleh 'sahabat' saya untuk menikahi suaminya.

Kisah menjurus kepada perkahwinan ini akan saya ceritakan secara ringkas sahaja. Asalnya saya adalah bersahabat baik dengan madu dengan persahabatan 'instant' iaitu kami berkenalan melalui pertubuhan dakwah yang kami sertai. Hubungan kami menjadi terlalu rapat seperti adik-beradik dan saya jatuh hati pada anak-anaknya kerana saya memang sukakan kanak-kanak. Sehinggalah dalam tempoh bersahabat, saya berkongsi cita-cita saya untuk membuka pusat didikan kanak-kanak dan dia turut berminat dan akhirnya dia menyatakan hasrat untuk melamarkan saya untuk berkahwin dengan suaminya atas sebab ingin menjadi rakan kongsi bersama.

Betapa naifnya saya ketika itu. Walaupun saya telah menolak dan suaminya juga tidak mahu, namun akhirnya, setelah beberapa lama kami dipujuk, kami berdua bersetuju. Dan setahun kemudian kami bernikah setelah melalui beberapa ujian dengan mendapat restu keluarga saya dan suami namun, tidak dihalang oleh keluarga isteri pertama.

Apapun, saya percaya bahawa semua sudah tertulis dalam Lauh Mahfuz. Bahkan saat buku ini ditulis saya dalam proses penceraian dan saya mohon doa pembaca semoga saya terus redha dengan ujian ini. Izinkan saya buat 'flash back' dalam bentuk penceritaan di bawah agar anda memahami situasi yang saya alami.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

"Kau ni memang penipu! Kau memang tak ikhlaskan selama ini!"Jerit suami ke mukaku. Dituding-tuding telunjuknya ke mukaku dengan mata membulat. Pen yang berada di tangannya dibaling kerana terlalu marah dan terpelanting, hampir mengenaiku. Aku hanya membukam kerana merasa takut. Hendak menangis tetapi tidak terkeluar air mata. Situasi 'fight or flight' sebegini sangat digeruniku yang bersifat 'introvert'. Badan seakan membeku, serba keliru untuk merespons kerana takut menambah minyak kepada bara dalam hati sang suami.

Maduku hanya memerhatikan dan sesekali mencelah. Dialah yang mengadukan kepada suami mengenai perselisihan faham antara kami sehingga suami marah kepadaku. "Kau dengar tak ni?", tanya suamiku kerana aku hanya berdiam diri. "Apa kau cakap dengan kakak kau, kau ni memang tak kenang budikan?" Bentak suamiku. Dia menggelarkan 'kakak' buat maduku. Aku merasa tersangat sedih, hanya Allah sahaja tahu perasaanku yang hancur lebur ketika itu. Banyak lagi yang dipersoalkan suami mengenaiku, misalnya tentang niat sebenarku mengahwininya. Seingatku, aku sudah banyak kali peristiwa sebegitu berlaku dalam tempoh hanya beberapa bulan aku masuk ke dalam keluarga tersebut.

Setelah beberapa ketika memarahiku, suami keluar dan di kesempatan itu, madu mengarahkanku pergi meminta maaf kepada suami. Aku menuruti dan memohon keampunan suamiku dan aku diminta untuk berjanji agar tidak mengulanginya. Aku dipesan supaya tidak mengecilkan hati maduku. Aku lega kerana konflik ini selesai namun dalam masa sama terasa diperlakukan seperti anak kecil. Aku terasa hanyut dalam realiti perkahwinan poligami yang tempang. Aku sentiasa dalam keadaan bagai kata pepatah 'walking on eggshells'. Hatiku sentiasa timbul kerisauan jika tersilap cakap, bergurau atau bertindak tentu aku akan dimarahi. Begitukah alam rumah tangga yang perlu kutempuhi terus. Allahu Allah! Aku cuba mengingati Allah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Begitulah keadaan yang kerap berlaku dalam rumah tangga kami. Keadaan setelah peristiwa dimarahi kelihatan seakan pulih sehinggalah terulang kembali dalam waktu berlainan. Kebanyakan waktu, anak-anak tidak dibiarkan melihat dan mendengar pertelingkahan kami, namun kadang-kala mereka sempat memerhatikan ketika saya dimarahi. Betapa malunya saya, sedangkan saya amat rapat dengan mereka sebagai ibu tiri yang turut membantu menjaga mereka. Kadangkala atas hal-hal kecil saya dimarahi. Misalnya, saya tersilap bergurau dengan anak mereka justeru akan diadukan dan saya dimarahi oleh suami.

Saya faham suami pening dengan keadaan kami yang sering berselisih! Apa tidaknya kami tinggal serumah: saya dan madu! Ini kerana keadaan ekonomi suami yang belum mengizinkan buat kami tinggal berasingan. Namun hanya kerana punca-punca kecil saya dimarahi. Justeru, emosi saya sedikit sebanyak terasa terdera sehingga mengalami simptom tekanan dan kemurungan!

Mulanya saya terkejut dengan keadaan ini namun lama-kelamaan kerana sudah terlalu kerap dimarahi saya menerima keadaan ini. Semua ini memberi kesan kepada keadaan diri saya secara emosi, minda malah fizikal saya turut sering jatuh sakit. Saya kerap demam, pernah sekali hampir masuk wad kerana daya tahan badan yang agak lemah.

Keadaan memburuk sehinggalah satu masa yang begitu meremukkan saya dan dalam masa sama menyelamatkan saya! Akan saya ceritakan apa yang terjadi sehingga saya tegar untuk bertindak!

HILANG AKAL

Hilang akal! Begitulah tahap kesan trauma yang saya alami sendiri semasa pergolakan rumah tangga ketika usia menginjak ke angka 33 tahun. Ketika itu, saya bercakap, menangis dan gelak-gelak seorang diri namun masih ada secebis waras sehingga saya sedar saya berkelakuan tidak stabil masa itu. Setiap malam saya telah mengalami kesedihan melampau dan menangis sehingga tertidur dan kerap juga mengalami kesukaran tidur malam.

Selain terasa seperti hilang akal, saya kehilangan berat badan yang mendadak dan hilang fokus di tempat kerja sehingga akhirnya diberhentikan kerana prestasi yang merundum. Saya juga mengalami keletihan melampau sehingga sering terlelap di tempat kerja. Keadaan kemuncak kesemua ini adalah serangan panik sehingga menggeletar seluruh badan serta dada berdegup kencang dan dalam posisi  saya duduk memeluk lutut itu, saya telah merasai rasa ketakutan melampau! Dan paling menyedihkan apabila dikenang semula adalah lintasan-lintasan ingin mengambil nyawa sendiri yang sering hadir. Saya hendak membunuh diri! Astagfirullahalazim! Betapa lemahnya saya saat itu.

Tentu anda tertanya-tanya apakah puncanya sehingga saya mengalami keadaan-keadaan yang membuntukan tersebut?

Saya jadi begitu kerana tekanan hidup yang bersangatan. Keadaan mental yang tidak stabil kerana kehidupan rumah tangga yang kacau-bilau. Terlebih dahulu, kisah ini diceritakan untuk memberikan pengajaran dan bukan untuk memburukkan mana-mana pihak. Saya sendiri insan lemah dan banyak kekurangan daripada pelbagai sudut.

Baiklah akan saya ceritakan dalam entri seterusnya kenapa semua ini terjadi daripada pandangan dan perspektifku yang kini lebih terbuka dan menghampiri sifat redha atas ujian yang berlaku. Semoga kisah yang saya akan nukilkan menjadi iktibar buat mereka yang dilanda ujian yang serupa!

BIODATA PENULIS


Penulis merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur serta seorang guru dan pengusaha sebuah taska di Selangor. Dengan latar belakang pendidikan Ijazah Sarjana Muda di bidang teknikal iaitu bidang Seni Bina, beliau mengorak langkah sebagai pegawai kontrak di sektor kerajaan dan beberapa buah badan berkanun selama hampir 10 tahun. Beliau mengubah haluan kepada bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) kerana sangat menyukai kanak-kanak dan setelah mengenali kecenderungannya yang lebih menjurus ke arah bidang tersebut.
Beliau mula menimba pengalaman baharu dalam bidang PAKK dan aktif mengikuti kursus-kursus yang berkait bidang ini dan kini sedang mengikuti pengajian peringkat Diploma Eksekutif di salah sebuah universiti tempatan secara separa masa.

Beliau juga meminati bidang psikologi dan melalui pengalaman hidup beliau berdepan dengan cabaran hidup dalam kehidupan berumahtangga yang penuh liku, beliau menukilkan sebuah rangkaian kisah dan catitan-catitan dari lubuk hatinya yang boleh dijadikan panduan sekaligus motivasi buat kaum wanita dalam mengejar cita-cita mereka.